KONGRES AGUNG PERWAKILAN (KAP)
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Januari 2023 – Sebagai landasan bagi Majlis Belia Brunei (MBB) menyelaras pentadbiran khususnya membincangkan dan menentukan rangka kerja, membubarkan serta melantik Ahli Jawatankuasa Tadbir Tinggi Pusat (AJKTTP) dan memperbaharui pergabungan pertubuhan, MBB telah mengadakan Kongres Agung Perwakilan (KAP) kali ke-7. KAP tersebut telah diadakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Lapangan Terbang Lama, Berakas.
Kongres yang dipengerusikan oleh Pengerusi Tetap Tertinggi bagi sesi 2021-2022, Dyg Aspadiyah Mohd Sah itu dihadiri oleh AJKTTP bagi sesi 2023-2024 yang diketuai oleh Dyg Khairunnisa Ash'ari selaku Yang Di-Pertua Majlis.
KAP turut dihadiri oleh dua orang wakil daripada Jabatan Belia dan Sukan dan seorang wakil daripada Jabatan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku pemerhati.
Awg Muhamamad Amirul Syazmie Ibrahim, Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan, kemudian dilantik sebagai Pengerusi Tetap Tertinggi Sementara oleh kongres bagi mempengerusikan agenda-agenda Pelantikan bagi Sesi 2023-2024.
Majlis Belia Brunei merupakan gabungan dua puluh tujuh persatuan, kumpulan dan pergerakan belia di mana dua puluh tiga daripadanya berpusat di Daerah Brunei dan Muara, satu di Daerah Belait, dua di Daerah Tutong, dan satu di Daerah Temburong.
Di samping itu, KAP juga meneliti perlembagaan MBB yang telah dikemaskinikan dan membentangkan laporan kerja dan kewangan MBB, serta membincangkan mengenai strategi dan aspirasi MBB sebagai satu badan yang menghubungkan persatuan di Negara Brunei Darussalam bersama pertubuhan rasmi di luar negara dan sebagai pusat rangkaian kerja bagi belia-belia di negara ini dalam peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.